Terengganu tundukkan Selangor, bawa bekalan dua gol

Pemain Terengganu FC, Ivan Mamut (kiri) diasak oleh pemain Selangor FC, Muhammad Safwan Baharudin pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak malam ini. - Foto Bernama
Pemain Terengganu FC, Ivan Mamut (kiri) diasak oleh pemain Selangor FC, Muhammad Safwan Baharudin pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

TERENGGANU FC membawa bekalan dua gol untuk aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Selangor FC 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu.

Tuan rumah jelas menguasai perlawanan pada separuh masa menerusi deretan peluang terhidang dan hampir membuka tirai jaringan menerusi Ivan Mamut pada minit ke-23 selepas menerima hantaran Engku Muhammad Nur Shakir, namun percubaannya melambung tinggi.

Skuad gergasi Merah turut mengasak menerusi Ayron del Valle melakukan percubaan yang gagal ditangkap kemas Mohd Suhaimi Husin manakala Faisal Halim gagal membuat tindakan susulan.

Tindakan Quentin Cheng menjatuhkan Nurillo Tukhtasinov dalam kotak penalti membawa padah apabila Terengganu dihadiahkan sepakan penalti di penghujung separuh masa pertama.

Mamut mudah menyempurnakan penalti tersebut menewaskan Samuel Somerville untuk meletakkan Terengganu di depan.

Separuh masa kedua, pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe melakukan tiga pertukaran membawa keluar Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Alex Agyarkwa dan Khuzaimi Piee memasukkan Noor Al-Rawabdeh, Yohandry Orozco dan V Ruventhiran.

Percaturan itu memberikan impak apabila Selangor FC mula mendapat rentak tatkala Terengganu FC mengendurkan asakan.

Beberapa percubaan dimiliki Selangor terutama peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi Brendan Gan yang diselamatkan Mohd Suhaimi.

Artikel Berkaitan:

Terengganu bijak mengambil peluang menerusi serangan balas pantas dari sebelah kanan sebelum disudahkan melalui tandukan Syahmi Zamri untuk gol kedua pasukan.

Selepas ini, Terengganu FC akan bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk aksi suku akhir kedua pada Ahad depan.