Himpunan Malaysia Bersama Palestin gamatkan laungan ‘Allahu Akbar'

Orang ramai menyatakan sokongan dengan menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil pada malam Selasa. - Foto Bernama
Orang ramai menyatakan sokongan dengan menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil pada malam Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

HIMPUNAN Malaysia Bersama Palestin pada Selasa telah menjadi bukti bahawa rakyat di negara ini kekal teguh dengan pendirian mengecam tindakan kejam Israel terhadap Palestin.

Gelombang 'lautan putih' sebagai tanda solidariti di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil itu gamat dengan laungan takbir dari awal sehingga akhir, memberi gambaran jelas bahawa negara ini sangat peduli terhadap nasib rakyat di Gaza di pelbagai peringkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semangat yang ditunjukkan dalam memperjuangkan hak Palestin mendorong beliau untuk mengelilingi negara Arab baru-baru ini.

Beliau bertemu dengan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman dalam lawatan satu hari bagi membincangkan perkara berkaitan Gaza selain menyatakan bahawa dunia Islam jangan kelihatan lesu dan perlu tegas menyuarakan hak Palestin.

Menurutnya, negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Qatar, Mesir, Bahrain dan Turkiye turut memberi penghormatan tinggi kepada Malaysia yang lantang menyokong isu berkenaan.

Tambah beliau, langkah segera perlu diambil meskipun Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) sama sekali tidak mempedulikan nasib menimpa rakyat Gaza yang kini sudah memasuki hari ke-18 konflik peperangan.

Himpunan anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Global Peace Malaysia (GPM) itu turut melibatkan lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Humanitarian Aid And Relief (Mahar), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), MyAqsa Defenders, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan, Malaysia akan terlibat dalam satu sidang khas tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 26 Oktober ini bagi membincangkan isu Israel-Palestin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh Wisma Putra perkara berkenaan dibenarkan untuk dibahaskan dalam sidang tersebut.

Menurutnya, ia merupakan satu pengiktirafan buat negara yang selama ini kekal teguh dengan pendirian apabila menyuarakan kebebasan dan keadilan terhadap Palestin dan tegas dalam mengecam Zionis.

Himpunan itu turut diselitkan video rangkuman #OpsIhsan, ucapan daripada NGO, pemimpin sosial dan jemputan khas, bacaan doa Qunut Nazilah beramai-ramai, kemudian diakhiri nyanyian oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Justeru, kebersamaan rakyat Malaysia dalam mendapatkan keadilan buat Palestin dan mengutuk tindakan Israel wajar diberi pujian atau dicontohi negara-negara dunia lain kerana semangat perjuangannya tidak hanya melibatkan golongan yang beragama Islam, malah sebaliknya juga.