Perketat penguatkuasaan, tingkat integriti petugas di sempadan negara

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Pengerusi MCCF, Datuk Seri Halim Ishak)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Pengerusi MCCF, Datuk Seri Halim Ishak)
A
A
A

SHAH ALAM - Penguatkuasaan secara lebih ketat dan berintegriti oleh pihak berkuasa merupakan kunci terbaik mengatasi isu sempadan negara diceroboh.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, penyelesaian kepada 'kebocoran' persempadanan negara yang dilihat mudah dibolos oleh warga asing boleh diatasi sekiranya dikawal ketat oleh pihak berkuasa yang diberikan amanah melaksanakannya.

Beliau yang juga Pengasas Yayasan Prihatin Bekas 69 Komando (YPB69K) berkata, selain sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti, pengawasan ketat kawasan sempadan negara boleh dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

"Negara perlu menggunakan teknologi canggih dalam mengesan pergerakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba meloloskan diri ke Malaysia.

"Ini termasuk penggunaan teknologi canggih seperti kamera pengawasan, sensor penggerak serta sistem pemantauan bergerak yang boleh membantu meningkatkan pengawasan sempadan tanpa mengabaikan sumber daya manusia.

"Selain itu, penggunaan dan penempatan dron dilihat sangat efektif untuk melaksanakan sistem pengawasan udara secara berterusan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Untuk mengatasi isu laluan tikus, Halim berkata, satu pendekatan yang dilihat berkesan adalah dengan meningkatkan infrastruktur keselamatan di sempadan seperti pagar, dinding atau kawalan elektronik.

Selain itu kata beliau, kerjasama dengan negara-negara jiran untuk membentuk jawatankuasa bersama atau pasukan lintas sempadan mampu memperkuat pengawasan serta tindakan pencegahan secara bersama.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kerjasama itu boleh melibatkan pertukaran maklumat perisikan dan latihan penguatkuasaan berterusan antara negara-negara jiran untuk memantau serta menutup laluan haram yang dibina oleh pihak sindiket.

"Malaysia perlu memohon kerjasama yang lebih tegas daripada pihak berkuasa negara jiran untuk mengatasi isu besar ini.

"Selain pertukaran maklumat perisikan, kerjasama dalam operasi penguatkuasaan dan peningkatan kerjasama membangun infrastruktur keselamatan di sempadan boleh dilaksanakan," ujarnya.

Tambah beliau lagi, Malaysia juga harus meningkatkan pembangunan ekonomi di kawasan sempadan yang boleh membantu mengurangkan warga asing mengambil kesempatan.

Jelasnya, peluang pekerjaan dan akses kepada kemudahan asas yang memadai diharap mampu membendung tindakan menceroboh oleh warga asing.

Tegas beliau lagi, menjadi satu kewajipan negara meningkatkan dan menggalakkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan keselamatan sempadan.

Selain itu katanya, kerjasama erat pihak berkuasa Malaysia dan negara jiran akan dapat membantu mengurangkan perbuatan menceroboh.

"Isu integriti dalam kalangan warga kerja penguatkuasaan sempadan mestilah dipertingkatkan dan dipantau selia dengan lebih kerap.

"Kombinasi pendekatan bersama masyarakat juga boleh membantu meningkatkan keberkesanan pengawasan sempadan dan mengurangkan kejadian pencerobohan pada masa depan," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28