Aksi bakal diwujud pertingkat kawalan sempadan negara

0
TINJAU: Muhammad Fuad  (kiri) ketika mengadakan lawatan CIQS di Tebedu, semalam.

TINJAU: Muhammad Fuad (kiri) ketika mengadakan lawatan CIQS di Tebedu, semalam.

TEBEDU: Agensi Kawalan Keselamatan Sempadan (AKKS) akan diwujud dalam masa terdekat bagi meningkatkan kualiti keselamatan negara ini.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata faktor keselamatan di sempadanan perlu dipertingkat.

Bagaimanapun katanya, perancangan itu masih dalam perbincangan di meja rundingan dan akan mula dilaksanakan di peringkat persekutuan.

“Setakat ini rancangan ini masih dalam perbincangan, kita yakin ia akan dilaksanakan secepat mungkin di peringkat persekutuan selepas diaktifkan nanti,” katanya.

Fuad berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sarawak (CIQ) Tebedu di Jalan Serian-Tebedu di sini semalam.

Mengulas lanjut, katanya fasa pertama pelaksanaan itu dilakukan di Semenanjung sebelum diperluas di Borneo membabitkan Sabah dan Sarawak.

“Untuk fasa kedua, melibatkan sempadan Sarawak-Indonesia dan Brunei, manakala Sabah dengan Filipina,” katanya.

Menurutnya AKKS akan diketuai komander PDRM turut dibantu oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia serta 13 agensi lain.

Menjelaskan perkara itu, katanya CIQS sendiri mempunyai 16 agensi penguatkuasaan yang bertugas di sempadan.

Katanya, AKKS juga akan dipertingkatkan dengan elemen keselamatan seperti sistem kamera litar tertutup (CCTV), pagar elektrik dan penggunaan sistem dron untuk pengawasan udara.