Sempadan negara bakal dibuka semula - PM - Utusan Malaysia

Sempadan negara bakal dibuka semula – PM

ISMAIL Sabri Yaakob melakukan acara lintas hormat diringi Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen di Peace Palace Phnom Penh, Kemboja hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sempadan negara akan dibuka semula kerana ramai terkesan akibat penutupannya terutama sektor pelancongan.

Perdana Menteri berkata demikian ketika hadir Majlis Makan Malam bersama Keluarga Malaysia di Phnom Penh, Kemboja semalam.

Kira-kira 5,000 Keluarga Malaysia terdiri daripada golongan profesional, ahli perniagaan, pelajar, pekerja dan sebagainya menetap di Kemboja.

“Perniagaan besar Keluarga Malaysia membantu merancakkan aktiviti ekonomi Kemboja selain menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Ismail Sabri berkata,  Malaysia merupakan pelabur asing ketiga terbesar di Kemboja dengan nilai pelaburan kumulatif AS$3.53 bilion ( RM14.77 bilion).

Justeru, kata beliau, Keluarga Malaysia perlu terus merebut peluang berdagang dan bergiat lebih aktif terutama dalam mengembangkan perniagaan industri halal di negara berkenaan.

“Bantuan kepada komuniti Melayu Islam Champa di Kemboja dalam bidang pendidikan dan peluang pekerjaan akan dibincang lanjut dengan kerajaan Kemboja,” katanya.

Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi sulung ke negara itu selama dua hari atas jemputan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen.

Beliau diberikan sambutan rasmi di Peace Palace Phnom Penh seterusnya mengadakan pertemuan empat mata dengan Hun Sen yang menumpukan kepada pelbagai usaha untuk pengukuhan hubungan dua hala.

Ini termasuk ekonomi, pembukaan sempadan kedua-dua negara dan isu-isu serantau selain membincangkan kerjasama pasca pandemik Covid-19, kerjasama ASEAN serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. 

Perdana Menteri dijadualkan menghadap Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni serta Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja.

Selain Kemboja, Ismail Sabri dalam rangka lawatan rasmi ke Thailand bermula hari ini hingga 26 Februari ini. 

Semasa lawatan rasmi ke Thailand pula, Ismail Sabri  mengadakan pertemuan dengan Prayut Chan-o-cha yang memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara dua negara terutama pembukaan sempadan antara kedua-dua negara, dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.

Lawatan Perdana Menteri ke Kemboja dan Thailand mencerminkan hubungan rapat dan menyeluruh Malaysia dengan kedua-dua negara jiran and rakan ASEAN tersebut. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya