Konflik Palestin-Israel: Siapa akan mengalah dahulu?

Konflik Palestin-Israel: Siapa akan mengalah dahulu?

KONFLIK Palestin dan Israel sudah memasuki bulan kedua dengan tiada lagi tanda-tanda untuk berakhir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Konflik Israel-Palestin yang sudah memasuki bulan kedua kini bukan sahaja menyaksikan dunia semakin runsing tentang apa kesudahan kepada peperangan kejam itu tetapi juga cuba meramal pihak mana yang akan lebih dahulu menyerah ‘kalah’ atau beralah mengangkat bendera putih demi menghentikan pertambahan jumlah korban nyawa di Gaza.

Israel dengan angkuh tanpa sekelumit rasa belas kasihan mahu meneruskan pengeboman di Gaza selagi Hamas berkeras tidak melepaskan tebusan yang ditahan dalam serangan mengejut di Tel Aviv pada 6 Oktober lalu.

SIAPA AKAN MENGALAH?

Hamas pula tetap dengan pendirian mereka mahukan tahanan Palestin yang diseksa di penjara Israel dibebaskan terlebih dahulu jika mahu lebih 240 tebusan dilepaskan dengan selamat.

Persoalan turut tercetus tentang niat sebenar Israel menyerang Gaza dengan keazaman untuk mara di utara wilayah terkepung itu dan memusnahkan semua terowong bawah tanah yang menjadi tempat persembunyian serta kubu kuat Hamas.

Tetapi serangan bertalu-talu yang kononnya menyasarkan kem Hamas sebaliknya membedil kem-kem pelarian, hospital-hospital besar masjid dan sekolah yang diketahui menempatkan ribuan penduduk awam.

Mungkin atas dasar kerahsian, usaha Israel untuk mengesan lokasi tebusan atau serbuan untuk menyelamat mereka tidak pula disebut atau dinyatakan dengan jelas dalam mana-mana kenyataan media tentera rejim zionis.

Hampir setiap hari rejim zionis hanya memberikan maklumat tentang kemaraan mereka di wilayah terkepung itu dan kemajuan misi ‘balas dendam’ mereka terhadap Hamas dengan keluarga dan waris tebusan semakin hilang sabar menunggu berita baik daripada mereka.

Kedegilan Israel untuk melakukan gencatan senjata dan memberi ruang ‘jeda kemanusian’ juga jelas mengelirukan dunia tentang keikhlasan menyelamatkan penduduk dan warga asing yang berada dalam kawalan Hamas.

Pejuang Hamas yang diketahui sanggup syahid demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka pasti sukar untuk mengangkat bendera putih melihatkan banyak yang sudah menjadi mangsa kekejaman Israel sejak lebih lima dekad lalu.

Hamas dilihat menjadikan Taufan Al-Aqsa sebagai kekuatan untuk menentang pendudukan rejim zionis dan berusaha melindungi penduduk Gaza yang kini menjadi mangsa ketika Israel melepaskan amarahnya terhadap pencerobohan pada 7 Oktober lalu.

Lebih 1,400 mangsa yang terkorban dalam pencerobohan mengejut itu hanya satu persepuluh daripada keseluruhan nyawa yang maut di bumi Gaza kini.

DIPAKSA BERPINDAH

Ribuan rakyat Palestin kini terpaksa melarikan diri dengan golongan ibu bapa sanggup berjalan kaki sejauh puluhan kilometer demi memastikan keluarga mereka terutamanya anak-anak kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman.

Menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza, pengeboman Israel sudah membunuh lebih daripada 10,500 orang, kebanyakannya kanak-kanak.

Tentera Israel berkata, lebih 50,000 orang meninggalkan utara Gaza ke selatan sejak semalam ketika pertempuran antara sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam dan tentera Israel semakin sengit.

“Kami melihat hari ini bagaimana 50,000 penduduk Gaza berpindah dari utara Gaza ke selatan Gaza.

“Mereka pergi kerana mereka faham Hamas hilang kawalan di utara dan di selatan lebih selamat,” kata jurucakap tentera, Daniel Hagari.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) berkata, kira-kira 15,000 orang sudah melarikan diri sejak Selasa, berbanding 5,000 pada Isnin dan 2,000 pada Ahad lalu.

Ketua Hak Asasi PBB, Volker Turk mengecam Israel berhubung pemindahan paksa semasa lawatannya ke sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir.

“Hukuman kolektif oleh Israel terhadap orang awam Palestin juga merupakan satu jenayah perang, begitu juga dengan pemindahan paksa orang awam yang menyalahi undang-undang.

“Bantuan yang disalurkan juga terlalu sedikit. Adalah menjadi kewajipan Israel untuk memastikan edaran keperluan asas kehidupan meluas yang boleh mencapai semua penduduk yang memerlukannya.

Pegawai Hamas berkata, pemindahan penduduk Palestin termasuk mereka yang mempunyai dua kewarganegaraan turut terganggu semalam berikutan keengganan Israel meluluskan senarai mereka yang cedera untuk dibawa melintasi sempadan.

Ketua Pakar Bedah di Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, Tom Potokar yang memasuki Gaza pada 27 Oktober lalu, menyifatkan senario di hospital Eropah di Khan Younis sebagai ‘malapetaka’.

“Dalam tempoh dua hari lalu, saya melihat tiga pesakit dengan ulat di luka mereka, termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun.

“Saya juga tidak dapat mencari seseorang yang tidak kehilangan ahli keluarga mereka bukan sahaja dalam kalangan pesakit tetapi juga kakitangan hospital.

“Kami juga dapat melihat kanak-kanak yang parah datang sendirian sehelai sepinggang meminta bantuan di hospital kerana kehilangan seluruh ahli keluarga mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya