JERANTUT: Felda Lepar Utara 3 di sini merupakan Felda pertama negeri ini yang memohon tapak untuk pembinaan perumahan generasi baharu Felda.
Kebanyakan Felda menyediakan tapak dan rumah, namun di tanah rancangan tersebut, mereka hanya memohon tapak dan akan membina sendiri rumah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Zon Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Lepar Utara, Mohd. Norodzaime Affandy Mohd. Rodzi, 35, berkata, permohonan tapak berkenaan telah dibuat sejak sekitar lima tahun lalu.
“Kami sudah beberapa kali buat permohonan dan dijanjikan dengan pemberian geran tanah selewatnya pada Februari lalu namun sehingga kini masih belum ada khabar berita.
“Setelah menerima geran, kami sudah menyediakan wang untuk bayaran premium tanah dan menjalankan kerja-kerja pembinaan,” katanya di sini semalam.
Tambah Mohd. Norodzaime Affandy, generasi baharu Felda di situ sudah mula putus harapan untuk terus menunggu pemberian geran tanah berkenaan.
“Selagi tiada geran, kami belum boleh meratakan tanah dan membahagikan tanah itu kepada lot-lot rumah. Selepas itu baharulah penerima melantik sesiapa yang mereka mahu untuk membina rumah di lot berkenaan,” katanya.
Tambahnya, pelbagai pihak telah datang untuk mengukur tapak berkenaan namun ia dilihat sekadar hendak menyedapkan hari penduduk.
“Mereka sudah beberapa kali datang untuk ukur tanah. Kami juga telah beberapa kali menyuarakan perkara ini kepada pihak atasan, namun sehingga kini masih belum ada tanda geran itu akan diserahkan,” katanya. – UTUSAN