Palestin: Lebih 300 berarak ke Pejabat Kedutaan AS di Malaysia 

Palestin: Lebih 300 berarak ke Pejabat Kedutaan AS di Malaysia 

SEBAHAGIAN orang awam bersorak melepaskan kemarahan selepas selesai solat Jumaat dan berarak dari Masjid Tabung Haji ke Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak, hari ini.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam berhimpun bagi menyatakan solidariti bersama Palestin selain berarak ke Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia bagi menyerahkan memorandum bantahan serangan Israel.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, himpunan itu diadakan bagi mengutuk kekejaman Israel terhadap Palestin dan menyatakan sokongan sepenuhnya kepada rakyat Gaza.

Kata beliau, AS perlu berhenti memberi sokongan kepada Israel kerana atas bantuan negara tersebut terhadap rejim Zionis sudah membuat mereka berani untuk melakukan jenayah perang tanpa bimbang akan dikenakan hukuman.

“Hari ini kita menyampaikan satu memorandum untuk menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap kerajaan AS yang memberi sokongan ‘luar biasa’ kepada Israel sehinggakan mereka (boleh) bermaharajalela (dengan) melakukan keganasan.

“Sehingga membunuh rakyat Palestin termasuk dalam kalangan bayi, anak-anak kecil, wanita, warga emas dan sebagainya. Dua hari lepas, walaupun mereka menafikan, Israel sudah mengebom sebuah hospital yang mengorbankan lebih 500 nyawa.

“Memorandum tersebut untuk mendesak AS menarik sokongan mereka daripada Israel, bukan setakat sokongan moral atau simbolik sahaja, tetapi juga bekalan senjata yang digunakan untuk membunuh ramai rakyat di Gaza,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menyertai program berkenaan.

Himpunan solidariti untuk Gaza disertai oleh kira-kira lebih 300 orang termasuk NGO seperti Persatuan Pengguna Semboyan 1Malaysia (Semboyan), Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia (ACT), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan beberapa NGO lain.

Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang dan Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim bagi menyatakan pendirian mengenai kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, himpunan dan protes sebegini akan diteruskan untuk setiap minggu bukan sahaja dalam negara tetapi juga luar negara bagi memastikan terdapat perubahan beberapa perkara.

“Serangan terhadap rakyat Palestin perlu berhenti dengan segera, sokongan kuasa-kuasa besar seperti AS terhadap Israel perlu dihentikan, bantuan kemanusiaan dibenarkan untuk masuk dan diberi kepada rakyat Palestin serta supaya rakyat Palestin mempunyai negara berdaulat, bebas dan bermaruah.

“Apa yang penting orang seperti Benjamin Netanyahu (Perdana Menteri Israel) di bawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) supaya beliau boleh diadili sebagai seorang penjenayah dan pengganas perang,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya