Rakyat Palestin tidak akan berganjak – Sheikh Khaled - Utusan Malaysia

Rakyat Palestin tidak akan berganjak – Sheikh Khaled

ISRAEL menjadi lebih rakus apabila merampas tanah Palestin selepas Perang 1967 dan 1973. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Wilayah Gaza dikatakan masih belum selamat dan penduduk masih berdepan ancaman pengeboman rejim zionis selepas hampir seminggu serangan ke atas Palestin.

Sehingga kini dilaporkan le­bih 4,000 penduduk terkorban sementara lebih 12,000 masih belum ditemukan dengan sebahagiannya dipercayai terpe­rangkap bawah runtuhan ba­ngunan.

Wakil Jihad Islami dari Pa­lestin, Sheikh Khaled Ghawannah berkata, pengeboman Israel baru-baru ini memusnahkan masjid-masjid, bangunan hospital dan pelbagai tempat.

“Apa lagi yang ditunggu oleh dunia ataupun alam ini untuk menyaksikan keganasan yang begitu dahsyat pada waktu ini?

“Baru-baru ini dalam satu hari pengeboman dibuat pada hospital di Gaza yang mengorbankan lebih daripada 1,000 nyawa, tidak pernah berlaku dalam sejarah dan kita melihat, dunia me­nyaksikan kekejaman ini,” katanya dalam ucapan pada Ceramah Mega sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di sini semalam.

Terdahulu Utusan Malaysia memetik agensi melaporkan, Menteri Kesihatan Palestin, Mai Alkaila merayu masyarakat antarabangsa dan semua pertubuhan hak asasi manusia untuk campur tangan dan melindungi Hospital Al Quds di Gaza daripada ancaman serangan Israel.

Ini kerana, Persatuan Bulan Sabit Merah yang mengendalikan Hospital Al Quds diberi notis agar mengosongkan hospital itu yang ketika ini menampung lebih 400 pesakit dan kira-kira 12,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Dalam pada itu, Syeikh Khaled memaklumkan rakyat Palestin kini hanya mempunyai dua pilihan untuk meneruskan hidup di bumi bergolak itu iaitu sama ada untuk berpeluk tubuh atau berjuang membebaskan Palestin.

“Rakyat Palestin nekad dan membuat satu keputusan bahawa mereka bagaimanapun kea­daannya tidak akan berganjak dan terus berada atas jalan ini sehingga Allah berikan kemenangan yang mana diharapkan itu suatu pembebasan kepada bumi berkat, bumi Palestin.

“Itu adalah pendirian kami, demikian itu adalah nekad kami bagaimana pula dengan umat Islam yang lain? Adakah sanggup bersedia untuk meninggalkan kami sendirian berperang dengan Israel? Maka jawablah pada diri sendiri.

“Kalau itulah jawapan tadi, tidak akan meninggalkan rakyat Palestin, maka persembahkan apa yang mampu kepada pembebasan Palestin wang ringgit, nyawa, harta dan apa sahaja yang dimiliki ke arah pembebasan Palestin, Baitulmuqaddis dan Masjid al-Aqsa dibebaskan daripada Zio­nis,” rayunya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya