Ubah basikal roda tiga jadi 'kedai' kopi - Utusan Malaysia

Ubah basikal roda tiga jadi ‘kedai’ kopi

ZULHAZMAN Zainal Abidin di kedai kopi berkonsepkan basikal roda tiga di hadapan rumahnya di Taman Seri Pagi, Senawang, Negeri Sembilan-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahu mencari kelainan, seorang pemuda menggunakan konsep basikal beroda tiga untuk memulakan perniagaan menjual kopi sejak tiga minggu lalu.

Zulhazman Zainal Abidin, 29, berkata, sejak dia memulakan kedai kopi yang dikenali sebagai Ko.Ko.Kopi di hadapan rumahnya iaitu di Taman Seri Pagi, Senawang, dekat sini, sambutan yang diterima cukup baik.

“Saya mula belajar membuat kopi menerusi Youtube sejak bulan Februari tahun lalu kerana isteri gemar mencuba kopi di banyak kedai. Saya ambil keputusan menyertai kursus barista anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) pada Oktober tahun lalu.

“Saya mahu mencuba konsep berbeza dan mendapat idea menjadikan basikal roda tiga sebagai tempat membancuh kopi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Zulhazman, basikal roda tiga itu diubah suai oleh seorang rakannya dengan kos sebanyak RM1,800.

“Saya banyak lihat konsep basikal roda tiga ini melalui laman sosial Pinterest dan idea dari luar negara. Banyak juga saya menggunakan barangan terpakai untuk membuat basikal roda tiga ini.

“Modal awal sebanyak RM8,000 dikeluarkan bagi memulakan perniagaan ini. Saya juga ada menerima bantuan daripada Kemas selepas menyertai kursus barista tahun lalu,” kata bapa kepada dua anak itu.

Katanya, kopi dijualnya pada harga serendah RM6 sehingga RM8 dengan Salted Caramel dan Matcha sering menjadi pilihan pelanggan.

“Alhamdullilah perniagaan yang diusahakan sejak tiga minggu lalu agak baik dan boleh mendapat jualan sebanyak RM2,000 pada minggu pertama perniagaan.

“Ketika ini, saya mempunyai tugasan hakiki pada waktu malam, jadi saya membuka kedai ini pada waktu petang iaitu bermula pukul 2 hingga 6 petang selama enam hari seminggu,” katanya yang bekerja secara kontrak dalam bidang penyelenggaraan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya