Anda di sini

Buat kuih, roti tambah rezeki sepanjang PKP

Advertisement
 Dora membungkus kuih cakoi yang telah masak untuk dihantar kepada pelanggan.
DAPAT SAMBUTAN: Dora membungkus kuih cakoi yang telah masak untuk dihantar kepada pelanggan.

KUCHING: Minat membuat kuih dan roti bagi mengisi lapang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuka pintu rezeki buat Dora Alvina Gathrin.

Dora, 24, yang berasal dari Lundu berkata pada mulanya dia membuat kuih dan roti untuk dimakan bersama ahli keluarga sahaja dan dikongsi dengan saudara-mara terdekat.

“Lepas sekali buat, mereka (saudara-mara) minta saya buat lagi untuk esok hari dan mahu membelinya jika saya mahu jual.

“Lepas beberapa hari, orang kampung mula tahu saya ada buat kuih dan roti dan mereka mula buat tempahan juga.

“Daripada mengisi masa lapang, kini setiap hari saya menerima tempahan kuih dan roti namun terhad dalam kampung sahaja,” katanya kepada Utusan Borneo.

Tambah Dora, dia mula mengambil tempahan pada pertengahan fasa pertama PKP yang bermula 18 Mac.

 Roti inti mantega, kacang merah, pandan dan kelapa parut antara yang banyak ditempah.
LARIS: Roti inti mantega, kacang merah, pandan dan kelapa parut antara yang banyak ditempah.

Dari segi jualan, menurut Dora ia tidaklah sebanyak mana tetapi jauh memadai bagi dia yang masih belum mempunyai pendapatan tetap.

“Sebelum PKP ini saya pernah membuat banyak jenis pekerjaan termasuk di kilang roti dan berhenti selepas menerima tawaran bekerja dalam perkhidmatan awam.  

“Tetapi disebabkan PKP, surat penempatan kerja masih belum keluar. Jadi saya guna masa terluang ini dengan menjual kuih dan pelbagai jenis roti secara sambilan,” ujarnya.

Antara kuih yang menjadi kegemaran ramai ialah cakoi dan roti pelbagai inti seperti mantega, kacang merah, pandan dan kelapa parut.

Hasil jualan katanya, cukup untuk menampung perbelanjaan sepanjang PKP ini sebelum memulakan perkhidmatan nanti.

  • oleh
  • Advertisement