Anda di sini

Ruang solat di Masjid Al-Malik akan diperbesar, tampung lebih ramai jemaah

Advertisement
Abang Johari (empat kanan) mendengar taklimat mengenai Masjid Al-Malik sebaik tiba di masjid tersebut. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari (empat kanan) mendengar taklimat mengenai Masjid Al-Malik sebaik tiba di masjid tersebut. - Gambar Chimon Upon

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk membesarkan ruang solat di Masjid Al-Malik bagi membolehkan masjid itu menampung lebih ramai jemaah.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ketika ini, ruang solat masjid itu hanya mampu menampung sekitar 600 jemaah.

"Saya mendapati jemaah di sini semakin bertambah, lebih-lebih lagi apabila Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) siap nanti, sudah tentu masyarakat Islam di kawasan ini bertambah. 

"Sehubungan itu, dengan ruang yang ada, kerajaan bersetuju untuk membesarkan lagi ruang masjid dan kalau boleh ia dapat menampung sehingga 1,000 jemaah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden di sini, hari ini.

Terdahulu,  Masjid Al-Malik dibina dengan kos sebanyak RM2.7 juta di mana RM2 juta disumbang oleh Kerajaan Sarawak, manakala bakinya melalui dana wakaf yang dilancarkan. 

Kerja-kerja pembinaan Masjid Al Malik bermula pada Okotber 2020 dan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembinaan beberapa kali telah tertangguh.

Bagaimanapun, masjid itu siap sepenuhnya pada Disember 2022 dan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Bahagian Samarahan pada 28 Disember 2022. 

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden Prof Madya Dr Sopian Bujang.
 

  • oleh
  • Advertisement