Anda di sini

Kes buang bayi di Batu Kawa, wanita warga asing ditahan

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUCHING: Seorang wanita warga asing dipercayai ibu kepada bayi yang ditemui mati di kawasan pembuangan sampah di Jalan Batu Kawa, di sini ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima laporan penemuan mayat bayi tersebut sekitar jam 9.50 malam Rabu.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Padawan dan IPK Sarawak digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

"Pihak forensik D10 JSJ IPK Sarawak dan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mayat bayi kemudian dibawa ke HUS untuk tindakan selanjutnya.

"Hasil daripada maklumat, seorang wanita warga asing berusia 23 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, wanita terbabit ditahan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Justeru kita mohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi negatif berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan serta dikhuatiri mengganggu siasatan polis.

"Bagaimanapun, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi bilik gerakan IPD Padawan di talian 082-862233," ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement