Anda di sini

Kempen solat subuh berjemaah Masjid Muhammadi dapat sambutan

Advertisement
Suasana di dalam Masjid Muhammadi ketika para jemaah mendengar kuliah subuh selepas menunaikan solat subuh hari ini. -Gambar BERNAMA
Suasana di dalam Masjid Muhammadi ketika para jemaah mendengar kuliah subuh selepas menunaikan solat subuh hari ini. -Gambar BERNAMA

KOTA BHARU: Sejak awal Disember tahun lepas usai solat subuh pada setiap Jumaat suasana di pekarangan Masjid Muhammadi, di sini, berubah seakan "bekwoh" apabila jemaah yang hadir menjamu selera dengan juadah seperti nasi putih dan gulai kambing.

Malah mereka turut menikmati kopi premium dibuat khas oleh barista sebagai pembasah tekak, semuanya secara percuma.

Bercakap kepada Bernama, Imam Tua II Masjid Muhammadi Kota Bharu Nik Mohd Afif Azhan Nik Mohd Naidi berkata kempen program sarapan subuh bersama jemaah itu kian mendapat sambutan apabila lebih 1,000 jemaah hadir setiap Jumaat.

"Awal-awal dulu hanya kira-kira 30 orang jemaah dan mereka diberikan nasi air dingin.

"Pihak pengurusan masjid kemudian beri cadangan supaya diadakan bekwoh sebagai sebahagian pengisian kempen solat subuh berjemaah dengan menu yang lebih menarik seperti nasi putih, gulai kambing, nasi lemak serta kuih-muih, alhamdulillah kini ruang solat utama hampir penuh pada setiap Jumaat," katanya ketika ditemui, di sini hari ini. 

Bercerita lanjut, Nik Mohd Afif Azhan berkata semua hidangan disumbangkan oleh pihak tertentu dan dimasak sendiri oleh jemaah.

 "Selepas program ini tular di media sosial seperti TikTok semakin ramai yang tampil menghulurkan sumbangan, sebagai contoh hari ini ada orang infaq lima ekor kambing untuk dimasak gulai.

"Selain mahu berkongsi rezeki program sarapan subuh bersama jemaah juga bertujuan mengimarahkan masjid pada waktu subuh," katanya.

Bagi jemaah Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, 60, dari Tanjung Chat berkata penyediaan sarapan pagi di masjid itu memudahkan urusannya.

"Baguslah diadakan program seperti ini saya tidak perlu tergesa-gesa pulang selepas menunaikan solat dan mendengar kuliah subuh," katanya.

Menurut pemilik ImanYusoft Coffee, Muhammad Iman Mohd Yusoft, 28, pihaknya berkolaborasi bersama Masjid Muhammadi dan Galeri Kotak Seni dengan menawarkan 200 cawan kopi premium kepada jemaah pada setiap Jumaat, semuanya secara percuma.

Beliau berkata mereka turut mengambil inspirasi usaha penyanyi dan pengacara, Alif Satar menerusi kempen #GengSubuhMacamJumaat.

"Kita terlibat sejak minggu pertama program diadakan, ImanYusoft Coffee menyediakan 200 cawan kopi premium kepada jemaah.

"Minggu ini kita buat kelainan ImanYusoft Coffee buat 100 cawan kepada jemaah lelaki manakala 100 cawan lagi dibuat oleh Mika Coffee untuk jemaah wanita," katanya.- BERNAMA
 

Advertisement