Anda di sini

Gaduh: Suami isteri diperintah jalani bon menjaga keamanan enam bulan 

Advertisement
 

KUCHING: Sepasang suami isteri diperintahkan untuk menjalani bon menjaga keamanan selama enam bulan dengan jaminan RM500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret hari ini akibat bergaduh dan mencederakan sesama sendiri. 

Majistret Mason Jaro Lenya Barayan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Abid Mohamad Ariffin, 30, dan isterinya Nursyafiza Murat, 27, selepas mereka mengaku bersalah sebaik didakwa di bawah Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut sekitar jam 11 malam di sebuah rumah di Kampung Tunku di sini pada 29 Mac 2023. 

Fakta kes mendedahkan Nursyafiza mendakwa dia ditampar dan dicekik oleh suaminya sehingga menyebabkan luka serta bengkak. 

Kejadian sedemikian dikatakan berlaku semenjak Januari lalu iaitu selepas kelahiran anak mereka yang ketiga.

Pengadu yang berasa tertekan dan mahu bercerai seterusnya membuat laporan untuk rujukan pihak Jabatan Agama Islam Sarawak serta pihak berkenaan bagi tindakan selanjutnya. 

Susulan itu, Mohamad Abid ditangkap pada 2 April 2024. Siasatan mendapati saksi kejadian mengesahkan hanya melihat pasangan itu bergelut, namun tidak melihat Mohamad Abid memukul isterinya.

Hasil siasatan juga mendapati Mohamad Abid mengalami kecederaan iaitu terdapat kesan calar (kesan kuku) pada lehernya.

Susulan itu difahamkan, insiden tersebut melibatkan masalah rumah tangga antara suami isteri dan untuk mengelak kejadian sama berulang, kedua-dua tertuduh diperintahkan untuk menyempurnakan bon bagi menjaga keamanan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang, manakala pasangan suami isteri tersebut tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement