ekspresi

Sosej Kemboja taruhan Kukus

Zaitie Satibi

Tong Mo yang dibakar di atas dapur arang tidak saja menerbitkan aroma yang memikat selera, malah menyediakan kelainan pada menu ditawarkan restoran Kukus di Klang, Selangor.

Tong Mo adalah daging cincang yang diperap dengan rempah istimewa dan disumbat ke dalam usus lembu nipis. Ia adalah makanan tradisional rakyat Kemboja, malah lebih popular di panggil sosej Kemboja.

Selain Tong Mo, masakan kampung dengan cita rasa Pahang seperti gulai patin tempoyak, patin masak asam pedas, sambal tempoyak pucuk ubi kayu, ayam masak kunyit dan kari kaki ayam antara menu di kedai makan itu yang beroperasi sejak dua tahun lalu di bangunan kayu lama berusia hampir 100 tahun.

Bertandang ke kedai makan itu, membuatkan pelanggan bagaikan dekat dengan zaman silam berikutan dekorasi premis yang berasaskan barangan antik. Pelanggan pasti tertarik dengan koleksi barangan yang dijadikan hiasan dan aksesori seperti majalah lama, raga, pelita yang mengimbau nostalgia kehidupan era 1960-an

Deretan tin kopi dan botol air lama disusun kemas di ruang utama manakala televisyen lama dan kuda rotan menjadi tarikan di kaunter jurutunai. Makanan ringan dan permainan yang popular pada 1980-an turut dijual. Persekitaran unik ini mendorong pelanggan merakam kenangan atau berswafoto ketika menjamu selera.

Menurut pemiliknya, Mohd Hanif Ahmad Bihauddin, 38, berkata suasana kedai makan zaman silam itu datang dari bangunan kayu itu sendiri yang juga bekas kedai runcit milik peniaga Cina.

“Selepas kematian pemilik kedai runcit ini, warisnya menyewakan premis berkenaan dan kebetulan saya sedang mencari lokasi untuk memulakan perniagaan selepas berhenti kerja sebagai pereka grafik.

“Saya mahu mencuba bidang lain dan memilih mengusahakan kedai makan kerana juga mempunyai kemahiran memasak. Malah, juadah kampung yang disediakan daripada resipi ibu,” katanya yang mengusahakan kedai makan bersama isteri, Nailasari Ismail, 36.

Mohd Hanif berkata, kebanyakan barang antik yang dipamer adalah koleksi peribadi, namun terdapat barangan lama yang diberi pelanggan. Ada antara barangan lama berkenaan dibuka untuk jualan kepada pihak yang berminat.

Beliau juga menyediakan sarapan klasik seperti ubi kayu rebus, lempeng bilis, lempeng kelapa, lempeng pisang, pisang rebus, roti bakar, roti kukus, telur goyang bersama minuman kopi kampung.

Kukus sesuai dijadikan lokasi santai untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan. Ruang makan yang selesa dan mampu memuatkan hampir 100 orang dalam satu-satu masa juga sesuai untuk menganjurkan jamuan.

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 12:32pm
d