mutakhir

Biadab sungguh...

Oleh Muhamaad Razis Ismail

BIADAB. Demikian perbuatan seorang remaja perempuan berusia belasan tahun yang sanggup memijak sebuah kitab menyerupai al-Quran dalam kejadian dipercayai berlaku di Kelantan.

Perbuatan remaja perempuan itu dirakam dengan menggunakan telefon bimbit sebelum tular di Facebook (FB) hari ini.

Video berdurasi tiga minit dan 13 saat itu menunjukkan remaja perempuan itu berbuat demikian sambil seperti mengangkat sumpah di depan seorang lagi rakan perempuannya.

Remaja perempuan itu kemudian mengangkat kitab berwarna hijau itu apabila melihat kereta Perodua Kancil melalui kawasan terbabit sebelum meletakkannya di dalam raga motosikal.

Malah, remaja terbabit dipaksa minum air penawar kononnya untuk menyokong sumpah yang dilakukan.

Terdapat dua lagi remaja perempuan di lokasi kejadian termasuk individu yang merakam kejadian berkenaan.

Semua remaja itu menggunakan dialek Kelantan ketika berbual sesama sendiri.

Berdasarkan perbualan terbabit, ia dipercayai berkaitan sama ada remaja terbabit melakukan hubungan seks atau sebaliknya.

Bagaimanapun sehingga kini masih belum dipastikan lokasi sebenar kejadian dan identiti remaja terbabit.

Video itu mula tular di Facebook petang ini mendapat reaksi kurang senang dalam kalangan warga net yang menyelar tindakan remaja terbabit.

Sementara itu, sumber yang dihubungi memaklumkan polis belum menerima laporan berhubung kejadian.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 11:10pm
d