mutakhir

Dua maut, tentera antara ditahan

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

POLIS menahan lapan lelaki termasuk seorang anggota tentera bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang menyebabkan dua lelaki maut di hadapan stesen minyak di Batu 31, Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Machang, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 39 tahun itu ditahan di sekitar Machang.

“Mereka termasuk dua beradik dan seorang anggota tentera berusia 30 tahun yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

“Kesemuanya direman sehingga 2 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Hasanuddin berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan antara dua kumpulan membabitkan antara 10 hingga 12 individu itu berlaku disebabkan ketidakpuasan hati.

Difahamkan, satu kumpulan merampas sebuah motosikal daripada kumpulan lain dan dikatakan ada sedikit khianat terhadap motosikal itu.

“Disebabkan tidak puas hati, dua kumpulan berkenaan bergaduh pada 12.30 tengah malam sehingga menyebabkan dua lelaki berusia 39 dan 40 tahun maut.

“Sementara, seorang lagi berusia 40-an parah dan kini sedang dirawat di Hospital Machang,” katanya.

Menurutnya, selain tangkapan, pihaknya turut merampas senjata antaranya pisau lipat, pedang serta batang kayu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan terbabit.

“Berhubung isu ketum pula saya tidak tahu menahu.

“Pada masa sama, polis masih mengesan dua lagi saksi bagi membantu siasatan,” katanya.

Selain itu, Hasanuddin berkata, dua kereta Perodua Myvi turut dirampas kerana dipercayai digunakan untuk melanggar seorang mangsa sehingga terbunuh.

Justeru, beliau berharap mana-mana pihak yang kebetulan berada di lokasi kejadian supaya tampil untuk memberi maklumat kepada polis bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi Pegawai Turus D9 IPK Kelantan, Deputi Superintendan Basar Salam di talian 019-9823320 atau mana-mana balai berdekatan.

“Sebenarnya masalah ini boleh diselesai di meja rundingan kalau mereka mempunyai tolak ansur dan kerjasama tanpa perlu bergaduh.

“Apabila bergaduh macam ini, tiada siapa yang untung, malah lagi rugi,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Dah jadi kes bunuh

'Dua maut bergaduh'

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 5:03pm
d