utama

Didesak tandatangan dokumen pada saat genting

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Redzuan Muharam

DIDESAK membuat keputusan penting bagi menentukan hak milik kotak hitam.

Itu antara detik cemas tidak dapat dilupakan Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Hussein Omar Khan ketika mengetuai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam misi pencarian baki mayat mangsa dan bangkai pesawat Penerbangan Malaysia (MH17).

Hussein yang menggalas tanggungjawab sebagai Komander Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVl) ketika misi itu berkata, pengalaman tidak pernah didedahkan itu berlaku ketika dia berada di Ukraine sejurus tragedi pesawat MH17 terhempas pada 17 Julai 2014.

"Dalam kejadian itu, kenderaan perisai milik Belanda yang dinaiki pegawai penyiasat Malaysia membawa kotak hitam ditahan tentera Ukraine menggunakan kereta kebal sebelum saya dibawa bertemu salah seorang pemimpin tertinggi Ukraine," katanya.

Biarpun tidak dimaklumkan agenda sebenarnya, Hussein akur dengan arahan pihak berkuasa Ukraine tanpa mengetahui pertemuan itu sebenarnya diadakan bagi menuntutnya mewakili negara untuk membuat keputusan penting.

"Tidak sangka saya dibawa bertemu Timbalan Presiden Ukraine ketika itu. Tiada butiran terperinci diberikan dan saya tidak sempat memaklumkan pihak atasan PDRM berhubung arahan itu.

"Seingat saya, dewan yang menjadi lokasi pertemuan itu dipenuhi ramai pegawai dan tentera Ukraine lengkap bersenjata.

"Saya dan wakil Belanda dituntut menandatangani dokumen perjanjian berkaitan hak milik kotak hitam MH17," katanya ditemui di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya.

Hussein berkata, pertemuan itu adalah detik getir buatnya kerana perlu membuat keputusan sendiri dengan segera.

Memandangkan ia membabitkan hal yang penting, beliau cuba berunding dan meminta diberi peluang untuk menghubungi pemimpin tertinggi di Malaysia tetapi dilarang berbuat demikian.

"Keadaan amat tegang ketika itu kerana saya didesak membuat keputusan sama ada menurunkan tandatangan sebagai tanda perjanjian atau sebaliknya.

"Memikirkan rundingan dibuat antara bekas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan ketua pemberontak (Alexander Borodai di Donestk, Ukraine) untuk mendapatkan kotak hitam serta beberapa kemungkinan, saya ambil keputusan untuk menandatangani perjanjian berkenaan walaupun dalam keadaan tidak pasti.

"Mujur di akhir pertemuan, Ukraine bersetuju menyerahkan kotak hitam dengan syarat Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya. Alhamdulillah, pertemuan selama dua jam berakhir dengan baik. Malah, kotak hitam itu juga berjaya diterbangkan ke United Kingdom (UK) untuk dianalisa data, "katanya yang kini menyandang jawatan Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Nadma.

Di sebalik cabaran itu, Hussein bersyukur kerana dapat melakukan rundingan dan menyelesaikan misi menuntut mayat penumpang dan kru pesawat MH17 untuk diterbangkan ke Eindhoven, Belanda bagi proses pengecaman.

"Satu kejayaan buat pasukan Malaysia sebenarnya kerana dapat melaksanakan tugasan diamanahkan itu dengan baik.

"Malah, kami sebenarnya dapat menyempurnakan dua misi iaitu mencari dan membawa balik mayat serta serpihan tulang selain mengumpul mengumpul bukti bagi tujuan pendakwaaan.

"Pengalaman itu tidak akan saya lupakan sehingga akhir hayat," katanya.

Menurut rekod, Hussein terbabit dalam tiga misi pencarian di lokasi nahas pesawat dan kali terakhir selama 10 hari selepas diterbangkan ke Ukraine pada 10 April 2015.

Misi terakhir itu disertai 25 anggota termasuk Pasukan DVI PDRM dan polis Belanda.

"Pada peringkat awal tragedi MH17, saya mengetuai misi bermula 18 Julai hingga 4 Ogos dengan kekuatan 20 petugas tetapi tidak dapat berada lama di lokasi nahas kerana risiko serangan memandangkan berada di kawasan bergolak.

"Misi kedua pula bermula 10 Oktober dengan disertai 10 petugas termasuk saya tetapi hanya dapat berada di lokasi selama seminggu sebelum diarahkan pulang demi keselamatan.

"Selepas sembilan bulan tragedi berlaku, saya sekali lagi mengetuai misi bersama enam petugas forensik bermula 14 April hingga 2 Mei. Kali ini kami berjaya menemui serpihan tulang dan mengumpul semua bukti diperlukan untuk tujuan pendakwaan," katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 7:15am
d