rap

Scha Alyahya belum tahu jantina anak

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON popular, Scha Alyahya yang kini hamil empat bulan mengakui belum mengetahui jantina anak kedua yang bakal dilahirkan kelak.

Scha berkongsi perkara itu di Instagram Stories selepas mendapat kad ucapan serta sejambak bunga kiriman pengacara popular, Neelofa.

Menerusi kad itu, Neelofa mengucapkan tahniah atas berita kehamilan Scha yang bakal memberikan adik lelaki kepada Lara Alana.

"Tahniah atas berita yang luar biasa ini dan memberikan hadiah berharga kepada Lara, seorang adik lelaki," tulis Neelofa.

Bagaimanapun, Scha yang juga isteri kepada pengacara, Awal Ashaari berkata, mereka belum mengetahui jantina bayi yang dijangka dilahirkan pada Februari tahun depan.

"Lara buat hal la ni. Kami belum tahu lagi jantina bayi. Hanya doakan semoga bayi membesar dengan sihat. Terima kasih atas doanya," tulisnya.

Dalam kad ucapan sama, pengacara progam Next To Neelofa itu turut mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Scha sepanjang kehamilan.

"Anda pasti gembira atas kehamilan kali kedua ini. Saya doakan anda selamat menjalani perjalanan ini," katanya.

Terdahulu, berita kehamilan Scha dikongsi Awal menerusi video berdurasi 38 saat sempena hari jadi ke-39 pengacara Melodi itu.

Dalam video itu memperlihatkan keterujaan Lara Alana yang berkongsi berita gembira mengenai kehamilan ibunya sambil memegang kit ujian kehamilan.

"Mummy sedang hamil. Saya bakal menjadi kakak kepada adik saya nanti, insya Allah. Saya akan menjaga adik lelaki saya nanti. Doakan keselamatan Mummy," katanya.

Bagaimanapun Awal mengusik Lara mengenai bagaimana dia mengetahui adik yang bakal dilahirkan nanti adalah lelaki. Secara spontan Lara menjawab, Awal yang memaklumkan perkara itu.

Scha dan Awal yang berkahwin pada 2012 sudah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Lara Alana yang kini berusia enam tahun.

Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 6:37pm
d