Asia

Mati berpuasa kerana Trump

Oleh Agensi

New Delhi: Ketaksuban seorang pemuda di India terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyebabkan dia sanggup berpuasa bagi memohon supaya pemimpin negara itu cepat sembuh daripada jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, tindakan itu ternyata sia-sia apabila Buss Krishna meninggal dunia selepas terkena serangan jantung akibat berpuasa sejak Trump disahkan positif virus berkenaan.

Ahli keluarganya mendakwa kematian petani itu disebabkan terlalu fokus berdoa terhadap Presiden AS ke-34 itu.

The Sun melaporkan, Krishna terlalu mengagungkan Trump sehingga menangis dan bersedih sebaik mengetahui Presiden AS itu disahkan positif Covid-19.

Berita itu ternyata memberi impak besar dalam kehidupannya apabila dia berasa tertekan sehingga sakit.

Seorang polis tempatan dikenali sebagai Rahhupathi berkata, lelaki berusia 35 tahun itu disahkan meninggal dunia di rumah keluarganya kerana sakit jantung.

Arab News pula yang memetik laporan media tempatan melaporkan bahawa Krishna menamatkan puasanya itu selepas keadaan kesihatan Trump dilaporkan pulih pada Sabtu.

Bagaimanapun, pada keesokan harinya, pemuda itu rebah sebelum tidak sedarkan diri, ketika minum teh.

Menurut keluarga Krishna, lelaki itu sebelum ini tidak tidur selama empat hari dan berpuasa kerana mahu mendoakan kesihatan Trump.

"Dia terlalu taksub terhadap Trump dan meninggal dunia kerana terlalu fokus berdoa untuk Presiden AS," katanya menerusi Facebook.

Sebelum ini Krishna menjadi perhatian selepas menganggap Trump sebagai dewa sehingga menghasilkan patung mirip wajah suami Melania Trump itu.

Dalam pada itu, Trump yang sudah diumumkan bebas daripada Covid-19 meneruskan kempennya menjelang pilihan raya presiden tidak lama lagi.

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 6:31am
d