utama

Peguam saman kerajaan, Agong tidak isytihar darurat

Oleh Farah Marshita Abdul

Kuala Lumpur: Seorang peguam hari ini, memfailkan saman pemula berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak bertindak atas nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.

Saman itu difailkan Syed Iskandar Syed Jaafar di pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, menerusi Tetuan R Kengadharan & Co dengan menamakan kerajaan sebagai defendan.

Melalui saman pemula itu, plaintif antara lain menuntut untuk menentukan sama ada berdasarkan Perkara 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun Perdana Menteri atau Kabinet menasihatkan sebaliknya.

Plaintif juga menuntut untuk menentukan sama ada Akta A514 yang meminda Perkara 150 dengan menambah Fasal (8) dan (9) adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah terbatal dan tidak sah.

Plaintif turut menuntut relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah tanpa sebarang perintah kos.

Pada Ahad lalu, Al-Sultan Abdullah memaklumkan tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman COVID-19.

Baginda berpendapat kerajaan sekarang berjaya menangani wabak itu dengan baik dan berkesan.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 3:21pm
d