utama

Bapa tak percaya rakan sekolah bunuh Surya [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Betul ke dia yang bunuh?" Begitu pertanyaan yang terkeluar daripada mulut Ismail Muda, 58, sebaik mengetahui kenalan wanita Allahyarham Siti Nur Surya, 19, sudah ditahan untuk siasatan.

Ismail berkata, dia tidak menyangka gadis sebaya usia arwah dan dikenalinya sanggup mengambil tindakan kejam sedemikian jika benar dakwaan berkenaan.

Katanya, pada masa sama, dia sudah menjangkakan pelakunya adalah wanita berdasarkan kesan tapak kaki kecil, tetapi tidak tahu identiti individu terbabit.

"Terdapat beberapa kesan tapak kaki berserta darah di atas lantai menuju pintu bilik, selain bedak yang ditabur pada pintu almari dipercayai bertujuan menghilangkan kesan cap jari.

"Arwah sudah lama tidak berkawan dengan (suspek) wanita terbabit, tetapi tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku sehingga membawa kepada pembunuhan," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Beladau Kepong, di sini, hari ini.

Ismail berkata, selepas kejadian semalam, isterinya, Zaini Musa, 55, ada bertanyakan di mana Siti Nur Surya yang mesra dipanggil kakak apabila mendapati ketiadaan 'peneman setia' itu.

"Dia bertanya kakak mana, dan saya hanya menjawab kakak demam," katanya.

Ketika ditanya sama ada isterinya tahu atau tidak dengan kejadian itu, Ismail berkata, dia sukar untuk menyatakan situasi berkenaan.

"Saya rasa dia (isteri) tidak tahu dengan apa yang berlaku. Pada zahirnya juga tidak nampak dia bersedih dengan apa yang berlaku, tetapi batinnya kita tak tahu," katanya.

Berita berkaitan

Polis tahan rakan sekolah Surya [METROTV]

Jaga diri pesan terakhir Siti Surya [METROTV]

'Saya ingat kakak kena karan'

Ibu terlantar sakit saksi anak perempuan dibunuh penyamun [METROTV]

Disiarkan pada: November 2, 2020 @ 5:19pm
d