mutakhir

Seremban dilanda banjir

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Sekurang-kurangnya sembilan kawasan di daerah ini dan Rembau terkesan teruk akibat banjir kilat susulan hujan lebat kira-kira tiga jam bermula jam 12.30 tengah malam tadi.

Kawasan terbabit ialah Taman Happy dan Kampung Datuk Mansor di Rasah; Blok C Ampangan, Taman Bukit Chedang, Kampung Batu Tiga Mambau, Taman Angsamas dan Kampung Linsum, Kampung Kuala Sawah serta Siliau di Rantau.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Seremban, Lt (PA) Mohd Najib Abd Karim berkata, kawasan yang paling teruk terkesan adalah Taman Happy, Kampung Datuk Mansor dan Kampung Batu Tiga apabila air naik lebih dua meter.

Katanya, kawasan rendah lebih menerima kesan apabila air bergerak laju dipercayai kesan limpahan Sungai Temiang dan Sungai Linggi.

"Pihak kami mula menerima laporan daripada beberapa mangsa mengenai kejadian banjir kilat pada jam 12.45 tengah malam dan mengerahkan 40 anggota serta pegawai ke beberapa lokasi terjejas bagi memberikan bantuan.

"Berdasarkan laporan awal sekitar 500 penduduk terkesan, namun setakat ini kami tidak menerima laporan membabitkan kehilangan nyawa.

"Satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sega Rantau Rembau pada 7.30 pagi tadi sebagai langkah berjaga-jaga terutama membabitkan kawasan Kampung Linsum, Silau serta Kampung Sega di Rantau," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Najib berkata, pihaknya percaya banjir kilat kali ini antara yang teruk melanda kerana limpahan air dari Sungai Temiang dan Sungai Linggi menyebabkan sebahagian kenderaan penduduk hampir tenggelam.

Beliau berkata, sehingga jam 8 pagi tadi, keadaan kembali terkawal apabila air banjir mula surut.

"Operasi menyelamat dan membantu mangsa banjir kilat masih diteruskan dan kami akan terus memantau perkembangan cuaca kerana bimbang kemungkinan hujan lebat atau limpahan air sungai melimpah ke darat," katanya.

Sementara, penduduk Kampung Sawah Rantau, Fatihahtul Shela Shamsudin, 33, berkata, air mula naik pada 2 pagi ketika semua lima ahli keluarganya sedang tidur.

"Kami terkejut apabila mendapati air sudah naik sehingga satu meter di luar kawasan rumah dan sempat menyelamatkan beberapa barangan dalam rumah.

"Kereta kami dimasuki air manakala beberapa aksesori rumah rosak. Air mula surut pada jam 7 pagi tadi," kata guru Tadika Perpaduan Taman Pinggiran Senawang itu.

Menurutnya, ini kali pertama banjir besar di kawasan perkampungan itu sejak 20 tahun berlaku dan membabitkan 50 keluarga.

"Sudah lama kampung kami tidak dilanda banjir kilat, namun kami lega kerana kejadian ini tidak membabitkan kerosakan harta benda yang teruk atau kehilangan nyawa," katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 10:19am
d