Pengasuh kejam dera bayi berusia 18 bulan

Agensi
Februari 28, 2018 07:25 MYT
Kekejaman pembantu rumah memukul bayi 18 bulan terbongkar.
HANYA kerana tidak tahan dengan hingar-bingar anak kecil, seorang pengasuh bertindak menyeksa bayi jagaannya yang baru berusia 18 bulan.
Kelakuan kejam pengasuh itu, yang dikenali sebagai Parveen, 35 berjaya dirakam oleh ibu bapa kanak-kanak tersebut.
Sukhdev Singh, bapa kepada bayi itu dan isterinya telah memasang kamera tersembunyi yang berjaya merakam video yang mengejutkan mereka.
Video yang tidak menyenangkan itu menunjukkan Parveen telah merotan bayi perempuan berusia 18 bulan itu pada kaki dan punggungnya menggunakan rotan halus yang panjang.
Dalam video itu, bayi itu menangis kerana sakit dirotan, namun tangisannya tidak dihiraukan Parveen dan dia terus merotan dan mengarahkannya diam.
Keluarga bayi itu turut menyatakan bahawa muka bayi itu pernah digigit, namun tidak dirakam.
Ibu bapa bayi itu merasa bimbang apabila terjumpa kesan-kesan seksaan pada badan bayi mereka dan memutuskan untuk merakam gerak-geri pengasuh itu di rumah mereka di Khapurthala, Punjab, Utara India.
Menurut pasangan itu, selain terjumpa kesan-kesan seksaan, kelakuan bayi mereka juga telah berubah.
Satu hari, mereka telah meninggalkan sebuah telefon bimbit dalam mod rakaman di rumah mereka sementara keluar bekerja. Apabila pulang, apa yang mereka dapati amat mengejutkan.
Sukhdev Singh telah membawa rakaman tersebut ke pihak polis dan pengasuh itu telah ditahan selain mengaku menyeksa bayi tersebut.
#bayi #India #Kanak-kanak #keluarga #polis #rumah #video #wanita