Pos Malaysia Sarawak terima 19,000 bungkusan sehari, pelanggan diminta bersabar

Astro Awani
Jun 23, 2020 11:42 MYT
Pihak Pos Malaysia cawangan Sarawak memberi jaminan barangan akan dihantar dengan kadar segera dengan mengikut syarat serta garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh kerajaan. -Gambar Astro AWANI
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu menyaksikan orang ramai beralih ke pembelian digital atau urus niaga secara dalam talian.
Hal itu mengakibatkan kesesakan trafik dalam perkhidmatan penghantaran yang tidak dapat dielakkan.
Berdasarkan data, Pos Malaysia cawangan Sarawak tidak ketinggalan dalam melalui situasi tersebut.
Malah, menurut Pengurus Pos Malaysia cawangan negeri itu, Bong Tung Hui, jumlah bungkusan pelanggan yang diterima pihak adalah 19,000 sehari.
“Kesesakan lambakan bungkusan ini adalah disebabkan orang ramai masih selesa dengan pembelian secara atas talian.
“Pihak kami mencatatkan peningkatan sebanyak 35 peratus setiap hari,” katanya.
Tambah Tung Hui, barangan pelanggan terdiri daripada pelbagai jenis termasuk keperluan asas, barangan perhiasan diri sehinggalah ke perhiasan rumah.
Namun, disebabkan situasi rumit ini, pihaknya hanya mampu menyarankan pelanggan untuk bersabar dan bertoleransi dengan keadaan semasa.
“Kami sedang mencuba sedaya upaya untuk menghantar barang-barangan ini dengan kadar segera.
“Harus diingatkan, kami juga masih tertakluk dengan garis panduan keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan,” jelasnya ketika ditemu bual.
Dalam pada itu, bagi meningkatkan kecekapan penghantaran katanya Pos Malaysia kini dalam usaha untuk merekrut anak muda untuk menjadi sebahagian daripada pasukan penghantaran.
Setakat ini, Sarawak hanya mempunyai 110 Pos-Rider yang sah berdaftar dengan pihak syarikat.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #Bong Tung Hui #COVID-19 #normal baharu #Pengurus Pos Malaysia Sarawak #Pos Malaysia Sarawak #Sarawak