Soalan Lazim

Bagaimanakah Google melindungi privasi saya dan mengekalkan maklumat saya selamat?

Kami tahu keselamatan dan privasi itu penting kepada anda – dan penting kepada kami juga. Menyediakan keselamatan yang kukuh dan memberi anda keyakinan bahawa maklumat anda selamat dan boleh diakses apabila anda memerlukannya menjadi keutamaan kami.

Kami sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan yang kukuh, melindungi privasi anda dan menjadikan Google lebih berkesan dan cekap untuk anda. Kami menghabiskan beratus-ratus juta dolar setiap tahun untuk aspek keselamatan dan melantik pakar dalam bidang keselamatan data yang terkenal di dunia untuk memastikan maklumat anda sentiasa selamat. Kami turut membina alat privasi dan keselamatan yang mudah digunakan seperti Google Dashboard, pengesahan 2 langkah dan Tetapan Iklan. Jadi, apabila menyentuh tentang maklumat yang anda kongsi dengan Google, andalah yang mengawalnya.

Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang keselamatan dalam talian, termasuk cara melindungi diri dan keluarga anda dalam talian, di Pusat Keselamatan Google.

Ketahui lebih lanjut tentang cara kami memastikan maklumat peribadi anda sulit dan selamat — dan membolehkan anda mengawal maklumat anda.

Bagaimana hendak mengalih keluar maklumat mengenai diri saya daripada hasil carian Google?

Hasil carian Google ialah gambaran kandungan yang tersedia secara umum di web. Enjin carian tidak boleh mengalih keluar kandungan terus daripada tapak web, oleh itu mengalih keluar hasil carian daripada Google tidak akan mengalih keluar kandungan tersebut daripada web. Jika anda mahu mengalih keluar sesuatu daripada web, anda perlu menghubungi juruweb tapak kandungan yang menyiarkan kandungan tersebut dan minta beliau membuat perubahan. Apabila kandungan telah dialih keluar dan Google telah memaklumi kemas kini tersebut, maklumat ini tidak lagi akan dipaparkan dalam hasil carian Google. Jika anda mempunyai permintaan pengalihan keluar segera, anda juga boleh melawati halaman bantuan kami untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Adakah pertanyaan carian saya dihantar ke laman web apabila saya klik pada hasil Carian Google?

Benar, dalam sesetengah kes. Apabila anda klik pada hasil carian dalam Carian Google, penyemak imbas web anda mungkin turut menghantar alamat Internet atau URL halaman hasil carian tersebut ke halaman web destinasi sebagai Perujuk HTTP. URL halaman hasil carian kadangkala mengandungi pertanyaan carian yang anda masukkan. Jika anda menggunakan Carian SSL (fungsi carian Google yang disulitkan), dalam kebanyakan keadaan, istilah carian anda tidak akan dihantar sebagai sebahagian daripada URL dalam Perujuk HTTP. Terdapat beberapa pengecualian terhadap gelagat ini, seperti jika anda menggunakan sesetengah penyemak imbas yang kurang popular. Maklumat lanjut mengenai Carian SSL boleh didapati di sini. Pertanyaan atau maklumat carian yang terkandung dalam Perujuk HTTP mungkin boleh didapati melalui Google Analitis atau antara muka pengaturcaraan aplikasi (API). Di samping itu, pengiklan mungkin menerima maklumat yang berkaitan dengan kata kunci tepat yang mencetuskan pengklikan iklan.