Teknologi dan Prinsip

Di Google, kami mengutarakan idea dan produk yang sering mendorong teknologi sedia ada sehingga ke hadnya. Sebagai syarikat yang bertanggungjawab, kami berusaha dengan gigih bagi memastikan sebarang inovasi diseimbangkan dengan tahap privasi dan keselamatan yang bersesuaian untuk pengguna kami. Prinsip Privasi kami membantu memberikan panduan tentang keputusan yang kami buat pada setiap peringkat syarikat kami supaya kami boleh membantu melindungi dan memberikan kuasa kepada para pengguna kami sambil memenuhi wawasan yang berterusan untuk menyusun maklumat dunia.

Prinsip privasi

  1. Gunakan maklumat untuk menyediakan produk dan perkhidmatan bernilai kepada pengguna kami.

    “Tumpukan pada menyediakan pengalaman pengguna yang terbaik” merupakan prinsip pertama falsafah Google. Apabila pengguna berkongsi maklumat dengan kami, ia membolehkan kami membina perkhidmatan dan produk yang bernilai untuk mereka. Kami percaya bahawa dengan menumpukan pada pengguna, boleh merangsang ciri yang menitikberatkan produk dan privasi yang telah menjana inovasi dan membina khalayak pengguna dalam talian yang setia.

    Kami belajar daripada kesilapan menaip dan ejaan yang kita semua lakukan apabila membuat carian bagi membantu memberikan anda hasil carian yang lebih cepat dan lebih tepat. Jadi, jika anda menaip [grizzly pears], kami boleh mengagak yang anda mungkin maksudkan [grizzly bears].

  2. Bangunkan produk yang menggambarkan piawaian dan amalan privasi yang kuat.

    Cita-cita kami adalah untuk berada di puncak teknologi, termasuk pembangunan alat yang membantu pengguna menguruskan maklumat peribadi mereka dengan cara yang boleh dicapai dengan mudah tanpa mengurangkan pengalaman pengguna yang bernilai. Kami mematuhi undang-undang privasi dan di samping itu berusaha secara dalaman dan bersama-sama dengan pengawal dan rakan kongsi industri dalam membangunkan dan melaksanakan piawai privasi yang kukuh.

    Kami mereka Google+ dengan kalangan bagi memudahkan perkongsian perkara yang berbeza dengan orang yang berlainan. Jadi, anda boleh letakkan rakan anda dalam satu kalangan, keluarga anda dalam kalangan yang lain dan bos anda dalam kalangannya tersendiri – sama seperti dalam kehidupan sebenar.

  3. Jadikan pengumpulan maklumat peribadi telus.

    Kami berusaha untuk menunjukkan kepada pengguna maklumat yang kami gunakan bagi menyesuaikan perkhidmatan kami. Di mana bersesuaian, kami menyasarkan untuk telus mengenai maklumat yang kami ada mengenai setiap pengguna dan bagaimana kami menggunakan maklumat tersebut untuk menyampaikan perkhidmatan kami.

    Google Dashboard membantu menjawab soalan, “Apakah yang Google tahu mengenai saya?” Ia memaparkan kepada anda maklumat yang disimpan dalam Akaun Google anda, seperti blog Blogger terakhir anda atau foto anda yang dimuat naik dan membolehkan anda menukar tetapan privasi anda untuk banyak produk Google dari satu lokasi pusat.

  4. Berikan pengguna pilihan yang bermakna untuk melindungi privasi mereka.

    Orang ramai mempunyai kebimbangan dan keperluan privasi yang berbeza. Bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pengguna kami, Google berusaha untuk menawarkan kepada mereka pilihan yang bermakna dan telah diperhalusi berkenaan penggunaan maklumat peribadi mereka. Kami percaya maklumat peribadi tidak sepatutnya ditahan dan kami beriltizam untuk membina produk yang membenarkan pengguna mengeksport maklumat peribadi mereka ke perkhidmatan lain. Kami tidak menjual maklumat peribadi pengguna.

    Dengan alat privasi kami anda boleh menyulitkan trafik carian anda antara komputer anda dan Google, menyemak imbas di internet secara peribadi, memadamkan sejarah carian anda, memindahkan data anda keluar daripada produk Google dengan mudah dengan usaha Pembebasan Data kami dan banyak lagi.

  5. Menjadi penjaga yang bertanggungjawab terhadap maklumat yang kami pegang.

    Kami mengakui tanggungjawab kami untuk melindungi data yang diamanahkan oleh pengguna kepada kami. Kami amat mengambil berat tentang isu keselamatan dan berusaha bersama-sama dengan komuniti pengguna, pembangun dan pakar keselamatan luaran yang besar bagi menjadikan Internet semakin selamat dan lebih terjamin.

    Kami mereka keselamatan dan ketahanan pada produk kami bermula dari bawah ke atas. Pengimbas automatik kami menggunakan data untuk melindungi berjuta-juta pengguna setiap hari daripada perisian hasad, komplot pemancingan data, penipuan dan spam.