Pengiklanan

Pengiklanan memastikan Google, laman-laman web dan perkhidmatan yang disediakan itu percuma untuk anda gunakan. Kami gigih berusaha untuk memastikan iklan yang dipaparkan itu selamat, tidak mencolok mata dan serelevan yang mungkin. Sebagai contoh, anda tidak akan melihat iklan pop timbul di Google dan kami menamatkan akaun ratusan ribu penerbit dan pengiklan yang melanggar dasar kami setiap tahun - termasuk iklan yang mengandungi perisian hasad, iklan untuk barangan tiruan atau yang cuba menyalahgunakan maklumat peribadi anda.

Cara Google menggunakan kuki dalam pengiklanan

Kuki membantu untuk membuat pengiklanan lebih berkesan. Tanpa kuki, lebih sukar untuk pengiklan mencapai sasarannya atau untuk mengetahui berapa banyak iklan ditunjukkan dan berapa banyak klik yang mereka terima.

Banyak laman web, seperti tapak dan blog berita, bekerjasama dengan Google untuk memaparkan iklan kepada pelawat mereka. Semasa bekerjasama dengan rakan kongsi kami, kami mungkin menggunakan kuki untuk beberapa tujuan, seperti untuk menghindarkan anda daripada melihat iklan yang sama berulang-ulang kali, untuk mengesan dan menghentikan penipuan klik dan untuk memaparkan iklan yang cenderung untuk menjadi lebih berkaitan (seperti iklan berdasarkan laman web yang anda telah lawati).

Kami menyimpan rekod iklan yang kami sediakan dalam log kami. Log pelayan ini biasanya merangkumi permintaan web anda, alamat IP, jenis penyemak imbas, bahasa penyemak imbas, tarikh dan masa permintaan anda dan satu atau lebih banyak kuki yang boleh mengenal pasti penyemak imbas anda secara unik. Kami menyimpan data ini atas beberapa sebab, sebab yang paling penting ialah untuk meningkatkan perkhidmatan kami dan untuk mengekalkan keselamatan sistem kami. Kami menjadikan data log ini awanama dengan mengeluarkan sebahagian daripada alamat IP (selepas 9 bulan) dan maklumat kuki (selepas 18 bulan).

Kuki pengiklanan kami

Untuk membantu rakan kongsi kami mengurus pengiklanan dan tapak web mereka, kami menawarkan pelbagai produk, termasuk AdSense, AdWords, Google Analitis dan pelbagai perkhidmatan berjenama DoubleClick. Apabila anda melawati halaman atau melihat iklan yang menggunakan salah satu produk ini pada perkhidmatan Google atau pada tapak dan apl lain, beberapa jenis kuki mungkin dihantar ke penyemak imbas anda.

Kuki mungkin ditetapkan daripada beberapa domain yang berlainan, termasuk google.com, doubleclick.net, googlesyndication.com atau googleadservices.com atau domain tapak rakan kongsi kami. Sesetengah produk pengiklanan kami membolehkan rakan kongsi kami menggunakan perkhidmatan lain bersama-sama dengan perkhidmatan kami (seperti perkhidmatan pengukuran dan pelaporan iklan) dan perkhidmatan ini mungkin menghantar kukinya sendiri kepada penyemak imbas anda. Kuki ini akan ditetapkan daripada domainnya.

Lihat butiran lanjut tentang jenis kuki yang digunakan oleh Google dan rakan kongsi kami serta cara kami menggunakannya.

Cara anda boleh mengawal kuki pengiklanan

Anda boleh menggunakan Tetapan Iklan untuk mengurus iklan Google yang anda lihat dan menarik diri daripada Pemperibadian Iklan. Meskipun anda menarik diri daripada Pemperibadian Iklan, anda mungkin masih melihat iklan berdasarkan faktor seperti lokasi umum anda yang diperoleh daripada alamat IP, jenis penyemak imbas dan istilah carian anda.

Anda juga boleh mengurus kuki banyak syarikat yang digunakan untuk pengiklanan dalam talian melalui alatan pilihan pengguna yang dibuat di bawah program swaaturan di banyak negara, seperti halaman aboutads.info choices yang berpusat di Amerika Syarikat atau Your Online Choices yang berpusat di EU.

Akhir sekali, anda boleh mengurus kuki dalam penyemak imbas web anda.

Teknologi lain yang digunakan dalam pengiklanan

Sistem pengiklanan Google mungkin menggunakan teknologi lain, termasuk Flash dan HTML5, untuk fungsi seperti paparan format iklan interaktif. Kami mungkin menggunakan alamat IP, contohnya, untuk mengenal pasti lokasi am anda. Kami juga boleh memilih pengiklanan berdasarkan maklumat mengenai komputer atau peranti anda, seperti model peranti anda, jenis penyemak imbas atau sensor dalam peranti anda seperti meter pecutan.

Lokasi

Produk iklan Google mungkin menerima maklumat atau membuat kesimpulan tentang lokasi anda daripada pelbagai sumber. Contohnya, kami mungkin menggunakan alamat IP untuk mengenal pasti lokasi umum anda; kami mungkin menerima lokasi yang tepat daripada peranti mudah alih anda; kami mungkin membuat kesimpulan mengenai lokasi anda daripada pertanyaan carian anda; dan tapak web atau apl yang anda gunakan mungkin menghantar maklumat tentang lokasi anda kepada kami. Google menggunakan maklumat lokasi dalam produk iklan kami untuk membuat kesimpulan tentang maklumat demografi, untuk menambah baik perkaitan iklan yang anda lihat, untuk mengukur prestasi iklan dan untuk melaporkan perangkaan agregat kepada pengiklan.

Pengecam pengiklanan untuk apl mudah alih

Untuk menyediakan iklan dalam perkhidmatan yang tidak tersedia dengan teknologi kuki (contohnya, dalam aplikasi mudah alih), kami boleh menggunakan teknologi yang melaksanakan fungsi yang serupa seperti kuki. Kadangkala Google mengaitkan pengecam yang digunakan untuk pengiklanan pada aplikasi mudah alih kepada kuki pengiklanan pada peranti yang sama untuk menyelaras iklan merentas apl mudah alih dan penyemak imbas mudah alih anda. Perkara ini boleh berlaku, contohnya apabila anda melihat iklan dalam apl yang melancarkan halaman web dalam penyemak imbas mudah alih anda. Selain itu, proses tersebut membantu kami mempertingkat laporan yang kami berikan kepada pengiklan tentang keberkesanan kempen mereka.

Untuk menarik diri daripada iklan yang diperibadikan dalam apl pada peranti mudah alih, ikut arahan di bawah.

Android

  1. Cari Tetapan Google dalam salah satu tempat ini (bergantung pada peranti anda):
    1. Apl berasingan yang dipanggil Tetapan Google
    2. Dalam apl Tetapan utama anda, tatal ke bawah dan ketik Google
  2. Ketik Iklan
  3. Hidupkan Tarik diri daripada iklan berdasarkan minat

iOS

Peranti yang menjalankan iOS menggunakan Pengecam Pengiklanan Apple. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pilihan anda tentang penggunaan pengecam ini, lawati apl Tetapan pada peranti anda.

Apakah yang menentukan iklan oleh Google yang saya lihat?

Banyak keputusan dibuat untuk menentukan iklan yang anda lihat.

Kadangkala iklan yang anda lihat adalah berdasarkan lokasi semasa atau lokasi masa lalu anda. Alamat IP anda biasanya menjadi petunjuk yang baik bagi lokasi anggaran anda. Jadi, anda mungkin melihat iklan pada halaman utama YouTube.com yang mempromosikan filem akan datang di negara anda atau carian 'piza' mungkin mengembalikan hasil kedai piza di bandar anda.

Kadangkala iklan yang anda lihat ditentukan berdasarkan konteks halaman. Jika anda sedang melihat halaman petua berkebun, anda mungkin melihat iklan untuk peralatan berkebun.

Adakalanya anda mungkin turut melihat iklan di web yang berdasarkan aktiviti apl anda atau aktiviti pada perkhidmatan Google; iklan dalam apl yang berdasarkan aktiviti web anda; atau iklan berdasarkan aktiviti anda pada peranti lain.

Kadangkala iklan yang anda lihat pada suatu halaman disampaikan oleh Google tetapi dipilih oleh syarikat lain. Contohnya, anda mungkin telah mendaftar dengan tapak web sebuah akhbar. Syarikat tersebut boleh membuat keputusan mengenai iklan yang disiarkan kepada anda berdasarkan maklumat yang telah diberikan kepada akhbar itu dan boleh menggunakan produk penyediaan iklan Google untuk menyampaikan iklan tersebut.

Anda mungkin juga melihat iklan pada produk dan perkhidmatan Google, termasuk Carian, Gmail dan YouTube, berdasarkan maklumat, seperti alamat e-mel anda, yang anda berikan kepada pengiklan dan kemudian pengiklan itu berkongsi maklumat tersebut dengan Google.

Mengapa saya melihat iklan oleh Google untuk produk yang telah saya lihat?

Anda mungkin melihat iklan untuk produk anda lihat sebelum ini. Andai kata anda melawati tapak web yang menjual kayu golf, tetapi anda tidak membeli kayu golf tersebut pada lawatan pertama anda. Pemilik tapak web tersebut mungkin mahu menggalakkan anda kembali dan melengkapkan pembelian anda. Google menawarkan perkhidmatan yang membolehkan pengendali tapak web menyasarkan iklan mereka kepada orang yang melawati halaman mereka.

Untuk membolehkan ciri ini berfungsi, Google membaca kuki yang terdapat dalam penyemak imbas anda ataupun meletakkan kuki dalam penyemak imbas anda apabila anda melawati tapak sukan golf, (dengan mengandaikan bahawa penyemak imbas anda membenarkan perkara ini berlaku).

Apabila anda melawati tapak web lain yang berfungsi menggunakan Google, yang mungkin tiada kaitan dengan golf, anda mungkin melihat iklan untuk kayu golf tersebut. Hal ini berlaku kerana penyemak imbas anda menghantar kuki yang sama kepada Google. Kami pula mungkin menggunakan kuki tersebut untuk menyediakan anda iklan yang mungkin menggalakkan anda membeli kayu golf itu.

Lawatan anda ke tapak golf juga boleh digunakan oleh Google untuk memaparkan iklan yang diperibadikan kepada anda apabila anda mencari kayu golf di Google kelak.

Kami meletakkan sekatan terhadap jenis iklan ini. Contohnya, kami melarang pengiklan daripada memilih khalayak berdasarkan maklumat sensitif, seperti maklumat kesihatan atau kepercayaan agama.

Ketahui lebih lanjut mengenai iklan Google.