Jenis data lokasi yang digunakan oleh Google

Jenis maklumat lokasi yang berbeza mungkin digunakan dalam pelbagai produk Google.

Maklumat lokasi tersirat ialah maklumat yang sebenarnya tidak memberitahu kami lokasi peranti anda, tetapi membolehkan kami membuat kesimpulan bahawa sama ada anda berminat dengan tempat itu atau anda mungkin berada di tempat tersebut. Contoh maklumat lokasi tersirat ialah pertanyaan carian yang ditaip secara manual untuk tempat tertentu. Maklumat lokasi tersirat digunakan dalam pelbagai cara. Sebagai contoh, jika anda menaip "Menara Eiffel", kami membuat kesimpulan bahawa anda mungkin mahu melihat maklumat untuk tempat yang berhampiran Paris dan kami kemudiannya boleh menggunakannya untuk memberikan cadangan mengenai tempat tempatan tersebut kepada anda.

Maklumat trafik Internet, seperti alamat IP, biasanya diberikan dalam blok berasaskan negara, supaya boleh digunakan untuk sekurang-kurangnya mengenal pasti negara peranti anda dan melakukan perkara seperti menyediakan bahasa yang betul untuk anda dan tempat untuk pertanyaan carian. Maklumat ini dihantar sebagai sebahagian trafik internet biasa.

Sesetengah produk, seperti navigasi belok demi belok pada Peta Google untuk peranti mudah alih, menggunakan maklumat lokasi yang lebih tepat. Untuk produk-produk ini, anda biasanya perlu memilih untuk menghidupkan perkhidmatan lokasi berasaskan peranti, iaitu perkhidmatan yang menggunakan maklumat seperti isyarat GPS, sensor peranti, titik akses Wi-Fi dan id menara sel yang boleh digunakan untuk memperoleh atau menganggarkan lokasi yang tepat. Anda kemudiannya boleh memilih untuk mematikan perkhidmatan lokasi berasaskan peranti. Peranti dan/atau aplikasi tertentu mungkin turut menawarkan kepada anda tetapan kawalan lokasi tambahan untuk perkhidmatan lokasi berasaskan peranti ini. Contohnya, dalam sesetengah produk, anda boleh memilih sama ada untuk menyimpan lokasi ini dalam produk atau sejarah akaun tersebut.