fbpx

Malaysia pencemar utama lautan dengan sampah plastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Paparan grafik menunjukkan sebuah carta pai mengenai anggaran sisa plastik dikeluarkan oleh negara pada setiap tahun. - visualcapitalist.com

BANGKOK – Malaysia menduduki tempat ketiga senarai 10 negara teratas yang menjadi penyumbang utama pencemaran plastik di lautan akibat sisa yang salah diurus, lapor laman berita Thaiger semalam.

Senarai berupa paparan grafik itu disunting oleh Louis Lugas Wicaksono berdasarkan data kertas penyelidikan yang diterbitkan pada 2021 oleh ahli akademik Belanda, Lourens JJ Meijer.

Imej grafik itu menunjukkan sebuah carta pai dihasilkan daripada gambar sisa plastik dan jumlah sisa plastik lautan untuk setiap negara dilabel dalam unit tan metrik. Mengelilingi bulatan sisa plastik adalah lautan.

Lebih 75 peratus daripada plastik terkumpul di lautan dilaporkan berasal daripada sisa yang disalah urus di sembilan negara Asia. Satu-satunya negara bukan Asia yang tersenarai ialah Brazil.

Kebanyakan sisa plastik berasal dari sampah di taman, pantai atau di sepanjang longkang jalan. Cebisan plastik itu kemudian akan dibawa melalui longkang dan sungai oleh angin atau air hujan.

Sungai-sungai kemudian bertukar menjadi ‘lebuh raya plastik’ apabila mengangkut sisa ke lautan. Banyak sisa plastik di lautan juga berasal daripada pukat ikan yang dibuang.

Plastik dikatakan mengambil masa antara 20 hingga 500 tahun untuk terurai sepenuhnya.

Hasil penyelidikan yang dipaparkan menerusi grafik itu menekankan keperluan untuk lebih banyak tindakan dalam menangani pencemaran plastik termasuk sisa pengurusan lebih baik, peraturan lebih ketat dan peningkatan pendidikan awam. 

Senarai 10 teratas mengikut kedudukan ialah Filipina, India, Malaysia, China, Indonesia, Myanmar, Brazil, Vietnam, Bangladesh dan Thailand di tangga ke-10.

Pada 2021, Institut Penyelidikan Pembangunan Thailand (TDRI) berkata, negara itu mempunyai purata 1.03 tan sisa terurus setiap tahun dan hampir separuh daripadanya (0.31 peratus) mengalir ke laut.

Pada minggu lalu, penggunaan beg plastik di Thailand dilaporkan menjunam lebih 148,000 tan dalam tempoh kira-kira tiga tahun. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI