fbpx

29 sungai di Malaysia teruk tercemar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENDUDUK di negara ini perlu peka terhadap persekitaran terutama dalam menjaga kebersihan sungai agar ia tidak tercemar sehingga berlakunya gangguan bekalan air bersih kepada pengguna.

Masalah air terutama di Sela­ngor bagaikan ‘acara bulanan’ apabila ada pihak tidak bertanggungjawab melepaskan sisa terlarang ke dalam sungai menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) digantung operasi sekaligus menjejaskan banyak pihak.

Tindakan itu bukan sahaja menyebabkan bekalan air bersih di Selangor terputus, malah kadang-kala turut menyebabkan gangguan bekalan air terawat di beberapa kawasan di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Dalam insiden terbaharu baru-baru ini, empat LRA iaitu Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas susulan pencemaran bau dan menjejaskan bekalan di kawasan Klang, Shah Alam, Pe­taling, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Bagi penulis, perbuatan melepaskan sisa terlarang ini jelas mencerminkan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan mereka ini hanya ingin meraih keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan ke atas pengguna serta alam sekitar.

Pencemaran air juga boleh memberi impak yang besar ter­hadap kemusnahan hidupan di air.
Baru-baru ini, kerajaan dicadangkan supaya mewujudkan Pelan Tindakan Pencegahan, Pencemaran dan Pembersihan Sungai di setiap negeri bagi mencari solusi kepada isu pencemaran sungai yang berpanjangan di negara ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pelaksanaan pelan itu perlu melibatkan pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan kelicinan tindakan konstruktif yang diambil.

Menurutnya, perkara itu tidak boleh diambil mudah memandangkan kebanyakan su­ngai tercemar di negara ini berada di tahap membimbangkan iaitu di Kelas Empat dan Lima.

“Setakat tahun lalu, terdapat 29 sungai tercemar teruk dan diklasifikasikan sebagai Kelas Empat dan Lima yang berpunca daripada pelbagai aktiviti industri, kumbahan, penternakan serta sikap masyarakat membuang sampah di merata-rata.

“Justeru, Pelan Tindakan, Pencegahan, Pencemaran dan Pembersihan Sungai perlu diwujudkan di setiap negeri untuk pastikan sungai tidak terus tercemar. Semua agensi terlibat perlu gembleng tenaga tangani isu ini,” katanya.

Bagi penulis, adakah tindakan seperti ini dapat menyelesaikan masalah tersebut? Perancangan demi perancangan diatur oleh pelbagai agensi, namun ia tetap berlarutan.

Kerajaan perlu mengambil pendekatan yang lebih tegas bagi menangani masalah yang seperti tiada kesudahan ini.

Sementara itu, Pakar Alam Sekitar, Prof Dr. Ahmad Ismail pula berkata, pihak bertanggungjawab perlu mencari langkah segera menamatkan isu pencemaran sungai ini.

Jelasnya, negara juga pernah mempunyai pengalaman buruk berhubung pencemaran di Sungai Kim Kim, Johor yang jelas mengajar kita supaya cakna terhadap kesan ekologi dan kepelbagaian biologi termasuk kesan kepada manusia.

“Sepatutnya tiada lagi soalan dan cadangan sama kerana rakyat di masa hadapan ingin melihat sungai yang bersih.

“Rakyat sekarang memerlukan tindakan untuk menyelesaikan isu-isu yang berulang,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI