Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Air – tidak ternilai, namun...
Diterbitkan:  Sep 30, 2022 3:08 PM
Dikemaskini: Oct 3, 2022 9:00 AM

Air Adalah Kehidupan

Air adalah satu keperluan asas yang merupakan sumber utama kehidupan kita. Ia merupakan antara utiliti termurah di Malaysia, maka majoriti pengguna tidak menghargainya.

Menerusi rekod Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dari Januari 2019 ke Jun 2022, sebanyak 13 kes pencemaran sumber air telah berlaku. Kes ini telah menyebabkan gangguan air ke atas kumulatif lebih 3 juta pengguna. Ketiadaan bekalan air merupakan satu episod duka dan menyeksakan kerana aktiviti-aktiviti harian di rumah, di kedai, di kilang, di asrama, dan di pejabat akan pasti terjejas.

Menurut Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020, yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar, 5% dari sungai di Malaysia telah masuk dalam kategori tercemar, dan tidak sesuai sebagai punca bekalan air mentah.

Fenomena perubahan iklim yang tidak menentu dan ancaman pencemaran ke atas sumber air yang boleh berlaku adalah faktor utama dalam memastikan kesediaan perkhidmatan bekalan air yang dapat memenuhi kehendak pengguna dan pembangunan ekonomi negara dengan lebih mampan.

Dalam menghadapi cabaran-cabaran ini, peranan semua pihak, termasuk pengguna, sangat penting kerana pola kadar penggunaan air di premis-premis akan mempengaruhi, tuntas menentukan kadar ekstraksi air mentah dari alam semulajadi.

Pengguna yang bijak akan menggunakan air secara berhemah.

‘TRIFECTA’

Berdasarkan statistik tahun 2021, rakyat Malaysia menggunakan purata 251 liter air setiap orang sehari, jauh melebihi kadar 160 liter sehari yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sebagai rujukan perbandingan, purata penggunaan air seorang sehari di Singapura adalah 158 liter, dan 152 liter di UK.

Jadual 1: Penggunaan dan Kadar Purata Tarif 2021

Menggunakan ‘purchasing power parity’, purata tarif air di ketiga-tiga negara ini telah ditukar ke USD untuk perbandingan. Dari data ini; kos per meter padu air di Malaysia adalah 6 kali ganda lebih tinggi berbanding Singapura dan 11 kali ganda jika dibandingkan dengan UK.

Adakah kadar tarif yang secara relatifnya rendah telah menyebabkan kadar penggunaan air per kapita yang tinggi di Malaysia? Berdasarkan statistik di atas, ianya satu kemungkinan.

Purata penggunaan air yang tinggi bagi setiap rakyat Malaysia boleh dirumuskan oleh ‘trifecta’ berikut – kadar tarif yang murah, tabiat penggunaan air, dan tidak menggunakan produk cekap air.

Berjimat dalam penggunaan air hari ini boleh memberi kesan jangka panjang seperti penangguhan keperluan pembinaan prasarana seperti pembinaan loji baru, maka semakan baru tarif air dapat dikemudiankan.

Kadar tarif yang rendah juga telah menyumbang ke atas tabiat penggunaan air yang boros, seperti membiarkan pili terbuka semasa memberus gigi atau semasa membasuh pinggan makanan di sinki dapur atau menggunakan air yang banyak semasa membasuh kenderaan di premis masing-masing.

Ibu bapa boleh juga menggunakan teknik ganjaran sebagai satu galakan kepada anak-anak untuk kekal konsisten mempraktikkan amalan mulia ini, dengan membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul.

Kecaknaan dalam memeriksa kebocoran paip dalaman, dan mengambil tindakan pembaikan, adalah juga salah satu faktor tabiat yang berupaya untuk mengelakkan pembaziran air.

Kedua-dua faktor di atas perlu perhatian dan perubahan paradigma ke atas tabiat seharian untuk menjayakannya. Dan salah satu dari solusi yang berkesan untuk membantu mengoptimumkan penggunaan air di premis-premis ialah melalui produk cekap air.

Produk Cekap Air

Lebih Bintang Lebih Jimat

Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pada tahun 2010, penggunaan produk cekap air boleh menjimatkan bil bulanan satu-satu premis sehingga ke 50%.

Penggunaan produk cekap air bukan lagi satu pilihan, tetapi ia adalah satu cara hidup yang akan mengharmonikan antara keperluan kehidupan hari ini dan di masa hadapan.

Terdapat lima jenis produk yang disenaraikan di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) iaitu pili air, tangki tandas dwi simbahan, mangkuk buang air kecil (urinal), pancuran mandi dan mesin basuh.

Melalui standard yang dibangunkan oleh SPAN, penggunaan pili cekap air hanya akan melibatkan 8 liter seminit dan pancuran mandi sebanyak 10 liter seminit. Jika dibandingkan dengan penggunaan pili konvensional yang mengeluarkan air sebanyak 15 liter seminit, berlaku penjimatan sebanyak 53%.

Produk cekap air sememangnya sejenis produk yang mampu memberikan penjimatan yang ketara. Ini kerana ia direka, diuji dan disahkan oleh badan pensijilan mengikut fungsi yang sesuai agar matlamatnya tercapai.

Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian...

Satu soal selidik melalui sosial media dilakukan oleh SPAN pada tahun 2021 mendapati 76.61% responden menyatakan mereka tidak menggunakan atau tidak pasti menggunakan produk cekap air atau tidak. Jika dinisbahkan, lebih tiga per empat dari kalangan pengguna mungkin masih belum menggunakan produk cekap air di premis-premis mereka.

Hargai nilai air yang sangat besar peranannya terhadap kehidupan manusia. Maka bagi melestarikan bekalan air bersih, langkah segera dan praktikal perlu diambil bagi memulihara anugerah alam yang tidak ternilai ini. Selain dari sasaran kerajaan untuk menurunkan kadar penggunaan air sehingga ke 160 liter seorang sehari, penggunaan produk cekap air secara meluas berupaya melestarikan sumber air dan mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar secara jangka masa panjang.

Gunakan produk cekap air; kelangsungan bekalan air bagi generasi akan datang bermula dengan generasi hari ini.

ADS