IKA Sungai Langat, Selangor bersih - Exco

IKA Sungai Langat, Selangor bersih – Exco

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Indeks Kualiti Air (IKA) bagi Sungai Langat dan Sungai Selangor berada dalam keadaan bersih apabila tahap bacaan IKA masing-masing dicatatkan pada pada tahap 86 dan 91 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga 1 Mac lalu.

Malah, keadaan sumber air di sungai berkenaan dikatakan mampu dirawat oleh kesemua 34 Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini dengan mematuhi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sentiasa memberi tumpuan terhadap aspek kawalan pencemaran dan pemuliharaan kualiti sumber air.

Menurutnya, pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Aktiviti Pengubahan Sumber (Selangor) 2013 dan Peraturan-Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Selangor) 2012 dikaji oleh LUAS.

Pindaan tersebut adalah berdasarkan kawalan aktiviti yang tidak tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 oleh JAS seperti aktiviti berjadual termasuk pengorekan dan pencucian pasir.

“LUAS juga sedang mengkaji dan menambah baik pematuhan aktiviti yang secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada pelepasan efluen dan seterusnya memberi impak kepada kualiti air sungai melalui pindaan tersebut.

“Bersama pindaan tersebut, LUAS sedang menggerakkan inisiatif pemuliharaan sumber air dan pengawalan pencemaran daripada sumber / punca melalui dasar Polluters Pay Principles dan Zero Discharge Policy yang menjadi pendekatan untuk meningkatkan kebertangungjawaban sektor pembangunan ekonomi terhadap sumber air dan alam sekitar termasuk grey water dari kawasan komersial dan aktiviti perbandaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Utusan Malaysia menerusi pendedahannya melaporkan hampir enam juta penduduk di Lembah Klang yang mendapatkan sumber air dari Sungai Selangor dan Sungai Langat berdepan risiko menggunakan air tercemar.

Risiko tersebut dikesan selepas satu tinjauan di kedua-dua lembangan tersebut mengenalpasti lokasi perumahan dan perindustrian terletak berhampiran dengan tebing sungai yang boleh menyebabkan pencemaran.


HEE LOY SIAN

Bagaimanapun, Loy Sian menjelaskan sungai yang menjadi sumber air lebih 90 peratus penduduk di Lembah Klang boleh berlaku pencemaran pada waktu-waktu yang tidak dijangka.

“Justeru, dengan penubuhan Skuad Pantas LUAS bermula 1 Disember 2020 berjaya mengekang jumlah isu pencemaran sungai daripada terus meningkat.  Luas juga berjaya menangani dengan memastikan langkah kawalan dan pencegahan segera dilaksanakan di tapak bagi mengelakkan henti tugas LRA iaitu sebanyak 22 isu (Kod Kuning) pada 2021.

“Skuad ini melaksanakan pemantauan 24 jam di kawasan-kawasan sensitif dan strategik sumber air yang dikenal pasti secara rondaan dan statik bagi tindakan pensampelan, kawalan dan langkah pencegahan segera,” jelasnya.

Beliau menambah, berdasarkan rekod pemantauan 2021, henti tugas LRA akibat isu kecemasan pencemaran (Kod Merah) berjaya dikurangkan dengan hanya dua isu di Sungai Semenyih pada tahun sama berbanding 11 isu pada 2020.

Tegas Loy Sian lagi, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya