Pembakaran terbuka cemar udara Pulau Carey - Utusan Malaysia

Pembakaran terbuka cemar udara Pulau Carey

PEMBAKARAN tayar di premis persendirian di jeti Pulau Carey kelmarin. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Pembakaran terbuka 2,000 metrik tan tayar yang menyebabkan pencemaran udara dan mengganggu keselesaan penduduk sekitar Telok Panglima Garang khususnya di Pulau Carey seharusnya tidak berlaku di saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sedang dikuatkuasakan.

Seorang penduduk berhampiran premis tersebut, Mohd. Hizwan Abdul Talib, 40, berkata, pembakaran tayar adalah kali pertama melibatkan premis tersebut sejak 10 tahun lebih ia beroperasi.

“Pembakaran terbuka ini menyebabkan pencemaran dari segi habuk dan bau hingga menyesakkan nafas saya sekeluarga.

“Oleh sebab itu saya dan isteri tidak membenarkan dua anak yang berusia 12 dan 13 tahun keluar dari rumah kerana keadaan udara yang tercemar teruk,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Terdahulu, visual pembakaran terbuka tayar di premis terbabit menjadi tular di laman media sosial, Facebook milik Jenjarum Community semalam.

Reaksi daripada Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS), Nor Aziah Jaafar menjelaskan, pihaknya telah mengeluarkan surat arahan kepada pemilik premis di jeti Pulau Carey tersebut supaya hadir ke JAS cawangan Sepang untuk memberi keterangan.

Mohd. Hizwan berkata, kebakaran yang berlaku semalam menghasilkan bahang sehingga dirasakan hingga jarak 100 meter.

“Sebelum ini pembakaran tayar yang besar turut berlaku di premis syarikat lain di kawasan ini beberapa tahun lalu,” katanya.

Seorang penduduk setempat, Azhar Mohd. Noh, 52, berkata, pencemaran udara tersebut boleh dikesan hingga lebih 10 kilometer dari tempat pembakaran tersebut.

“Kita yang berada di sini boleh menghidu bau busuk hasil daripada bahan yang dibakar di tanah milik persendirian tersebut.

“Kami penduduk di sini berasa bimbang disebabkan kita tidak tahu sama ada bahan berbau busuk yang terhasil dari pembakaran itu boleh menyebabkan penyakit kronik atau tidak,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi ketika ditemui di sini berkata, beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada pemilik premis terbabit.

“Tayar-tayar tersebut difahamkan ada lagi 3,000 metrik tan yang masih belum dilupuskan. Jika ia dibakar sudah pasti pencemaran udara berulang.

“Kita bimbang jika bahan kimia seperti karsinogen boleh menyebabkan penduduk tempatan mendapat penyakit berbahaya. Ambillah tindakan untuk menghalang kejadian sama terus berulang,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebakaran masih belum dipadamkan sepenuhnya dan asap hitam masih boleh dilihat naik ke udara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya